Senarai Kolej Kediaman di UKM

     SENARAI KOLEJ KEDIAMAN DI UKM


1. KOLEJ DATO' ONN (KDO) 


Kolej Dato' Onn, KDO merupakan kolej kediaman tertua dan yang pertama ditubuhkan di UKM Bangi selari dengan  pemindahan Kampus UKM ke Bangi. Kolej Pertama telah ditukarkan namanya  kepada Kompleks Siswa A pada 25 November 1977.

Kemasyhuran dan ketokohan Dato’ Onn telah menyebabkan namanya diabadikan dalam lipatan sejarah untuk terus dikenang. Justeru itu tanggal 30 Januari 1986 bersamaan 20 Jamadil Awwal 1406 Hijrah kedudukan kolej ini diperkukuhkan dengan perasmian oleh YAB Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3. 

Kolej ini berjiran dengan Kolej Tun Hussein Onn, UKM. Berhampiran dengan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Panggung Seni, Canselori dan Fakulti Pengajian Islam (FPI). Kebiasaannya Pengetua KDO dan KTHO merupakan orang yang sama. 


2. KOLEJ TUN HUSSEIN ONN (KTHO)


Kolej Tun Hussein Onn dahulunya dikenali sebagai Kamsis (Kampung Siswa) Dato’ Onn II sehingga tahun 1990, lalu ditukarkan nama kepada Kamsis Tun Hussein Onn. Selaras dengan penstrukturan semula Kamsis ini kemudiannya dikenali sebagai Kolej Tun Hussein Onn.

Penggunaan nama Tun Hussein Onn adalah kerana penglibatan beliau dalam bidang ketenteraan serta sumbangan beliau selaku pejuang maruah bangsa. Oleh itu, penggunaan nama Tun Hussein Onn adalah amat sesuai dengan kolej ini yang merupakan kolej kediaman Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Kolej ini berjiran dengan KDO dan berhampiran dengan Canselori, DECTAR, Panggung Seni dan Fakulti Pengajian Islam. KTHO dan KDO berkongsi Pengetua Kolej Kediaman yang sama. Hal ini disebabkan KTHO bukanlah kolej kediaman yang besar dan khas untuk anggota PALAPES di samping saiz KDO sendiri juga tidak seberapa besar jika dibandingkan dengan kolej-kolej yang lain. Ini disebabkan KDO merupakan universiti tertua dan pada masa itu kadar kemasukan tidak tinggi. 


3. KOLEJ RAHIM KAJAI (KRK)



Kolej Rahim Kajai (KRK) merupakan antara kolej terawal yang ditubuhkan semasa penubuhan awal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kolej yang pada awalnya dikenali sebagai kolej F ini telah ditubuhkan pada 31 Januari 1983. Kini Kolej Rahim Kajai mampu memuatkan 800 orang penghuni.
 
KRK juga boleh dianggap sebagai kolej kesukanan kerana berdekatan dengan banyak pusat-pusat sukan di UKM Bangi seperti gelanggang futsal, gelanggang tennis, gelanggang bola tampar, Pusat Sukan UKM dan Kompleks Sukan UKM. 

Kolej ini juga tidak terlalu jauh daripada KDO dan KTHO. Kolej ini juga boleh dikatakan jauh daripada fakulti-fakulti yang lain membuatkan majoriti mahasiswa menaiki bas jika tiada pengangkutan persendirian. Namun demikian, jangan khuatir kerana terdapat Grab UKM yang merupakan insentif untuk membantu mahasiswa dan staf UKM sahaja untuk membuat pendapatan sampingan. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan tidak semahal Grab sebenar. 


4. KOLEJ KERIS MAS (KKM)

Kolej Keris Mas merupakan salah sebuah kolej penginapan yang terdapat di dalam Universiti Kebangsaan Malaysia, yang dikelilingi dengan alam semulajadi.

Kolej Keris Mas adalan salah sebuah kolej yang terbesar dalam Universiti Kebangsaan Malaysia. Kolej ini mempunyai 9 blok dimana 2 blok lelaki, 6 blok wanita dan satu blok yang dikhaskan untuk penginapan luar.

KKM juga merupakan universiti terhujung di UKM Bangi dan tidak berjiran atau berdekatan dengan mana-mana kolej kediaman yang lain. Mahasiswa yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri sememangnya perlu menaiki bas yang disediakan UKM untuk ke bergerak. 

Ahli SUKSIS yang merupakan badan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat jaminan tetap di kolej kediaman ini kebiasaannya. 

Selain itu, KKM menempatkan Institut Kajian Etnik (KITA), UKM. KITA merupakan satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang sepenuhnya memfokuskan kajian terhadap etnik dan etnisiti. KITA juga menawarkan program siswazah iaitu Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD). Antara sarjana terkenal seperti Profesor Datuk Dr. Shamsul Bahri Baharuddin, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dan lain-lain. 


5. KOLEJ IBU ZAIN (KIZ), KOLEJ PREMIUM



Nama kolej ini adalah bersempena dengan nama tokoh kemerdekaan iaitu Ibu Zain atau nama sebenarnya Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman seorang tokoh wanita Melayu yang penuh kelembutan tetapi tegas dalam perjuangan membangunkan anak bangsa. Penubuhan kolej kediaman yang ketujuh ini mampu menampung keperluan penginapan sebanyak 400 orang pelajar.

Kolej ini dibina di atas Bukit Warisan yang berkonsepkan ala-resort yang mementingkan persekitaran dan lanskap yang hijau dan kondusif untuk suasana pembelajaran.

KIZ ini kebiasaanya menempatkan pelajar antarabangsa. Hal ini disebabkan kolej ini merupakan kolej terpremium di antara mana-mana kolej kediaman di Bangi dan KL. Oleh itu, kadar yuran penginapan di kolej ini agak tinggi dan sebab itu majoriti penginap di kolej ini merupakan pelajar antarabangsa kerana mereka memperoleh biasiswa atau tajaan dari negara asal mereka. 


6. KOLEJ AMINUDDIN BAKI (KAB)


Pada peringkat awalnya, Kolej Aminuddin Baki dikenali sebagai Kolej Kediaman Kedua UKM dan telah dibuka untuk penginapan sekitar 1971. Kolej ini merupakan kolej kediaman tertua di UKM selepas Kolej Dato’ Onn.

Kini, setelah mencapai usia 44 tahun, Kolej Aminuddin Baki terus melangkah dengan penuh jayanya, standing dengan kolej-kolej kediaman lain di UKM.

KAB berada bertentangan dengan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP). Selain itu, kolej ini juga berhampiran dengan Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), PUSANIKA, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST). 

7. KOLEJ IBRAHIM YAAKUB (KIY)

Kolej Ibrahim Yaakub merupakan salah sebuah daripada sepuluh buah kolej yang terdapat di kampus induk UKM Bangi. Kerana keadaan geografinya yang tinggi, kolej ini juga diberi nama sebagai HIGHLANDERS. 

Kolej yang tertinggi di UKM ini telah dibina pada tahun 1980 dan mula dibuka pada tahun 1982. Kolej ini juga dikenali sebagai KOLEJ ILMU selaras dengan kesungguhannya memartabatkan ilmu pengetahuan di kalangan penghuni-penghuninya. 

KIY berhampiran dengan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan bertentangan dengan Kolej Ungku Omar (KUO). KIY juga bersebelahan Pusat Kesihatan UKM di mana mahasiswa dan staf UKM boleh mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan di situ. Kolej ini tidak berada terlalu jauh dengan kolej kediaman kedua terhujung di UKM Bangi selain daripada KKM iaitu KPZ (Kolej Pendeta Za'ba). 


8. KOLEJ UNGKU OMAR (KUO) 



Kolej Ungku Omar dibina pada 23 jun 1976 dan siap pada 7 Januari 1978 dengan keluasan 220 kaki persegi. Kolej Ungku Omar mempunyai empat blok asrama, 23 blok pangsasiswa dan tiga blok pangsarama yang mampu menempatkan seramai 1024 orang penghuni.

Dengan akronim KUO, kolej ini dinamakan sempena seorang tokoh perubatan Negara – Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ungku Omar bin Ahmad.

KUO berada bertentangan dengan Kolej Ibrahim Yaakub (KIY) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Kolej ini juga berada tidak terlalu jauh dengan Pusat Kesihatan, Fakutli Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) dan PUSANIKA. 


9. KOLEJ BURHANUDDIN HELMI (KBH)


Kolej ini telah mengabadikan nama seorang tokoh iaitu Dr.Burhanuddin Al-Helmi. Seorang Profesor, Pejuang Kemerdekaan Malaysia dan juga merupakan cendekiawan negara yang terkenal. Kolej Burhanuddin Helmi mampu menampung sejumlah lebih kurang 800 orang dalam sesuatu masa.

Kolej Burhanuddin Helmi telah mula dibina pada 27hb Disember 1976 dan siap pembinaannya pada tahun 1979. Kos pembinaan pada tahun 1979 dianggarkan RM528,835,600. Keluasan lantainya ialah 183613 kaki persegi. Kedudukannya yang begitu strategik iaitu terletak diatas bukit berhampiran Masjid, DECTAR, Canselori, Pusat Kesihatan Pelajar dan Fakulti Pengajian Islam.

KBH juga bersebelahan KUO dan berdekatan dengan Pusat Pengajian Citra, Jabatan Pembangunan Prasarana dan Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik (PKBL). 


10. KOLEJ PENDETA ZA'BA (KPZ)


Kolej Pendeta Za’ba atau lebih dikenali sebagai KPZ adalah merupakan kolej kediaman terbesar dan paling bongsu kepada 12 buah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia terletak di Lingkungan 2 UKM dan berhampiran dengan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FTSM), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Pendidikan (FPend), Fakulti Undang-undang (FUU) dan Pusat Pengurusan Akademik.

Nama Kolej Pendeta Za’ba ini diambil sempena nama seorang pendeta ilmu dan nasionalis Melayu tersohor iaitu Zainal Abidin bin Ahmad atau lebihIMG_2068 -SEJARAH KPZ dikenali sebagai Za’ba yang dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Cendikiawan ini memberi sumbangan yang besar terhadap modernisasi penulisan jawi dan perkembangan Bahasa Melayu dan cadangan penubuhan sebuah universiti untuk kaum bumiputera yang menggunakan bahasa Melayu. Atas sumbangan dan semangat yang ditunjukkan Za’ba, KPZ mengangkat kalimah  “Mewarisi Keunggulan Pendeta”  sebagai moto Kolej Pendeta Za’ba. 


11. KOLEJ TUN DR. ISMAIL (KTDI)


    Kolej Kediaman Tun Dr Ismail (Kolej Tun Dr Ismail, KTDI) telah beroperasi sejak Jun 1999 dan dirasmikan tiga tahun selepas ia dibina. Pada hari-hari awal, “Kamsis Tun Dr. Ismail” terletak di Jalan Temerloh berdekatan dengan Taman Tasik Titiwangsa yang pada mulanya merupakan kolej kediaman pelajar perubatan UKM. Kini kolej kediaman di sana dikenali sebagai Kolej Kediaman Tun Syed Nasir. Pada tahun 1997, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menubuhkan hospital pengajarnya sendiri, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Fakulti Perubatan, telah dipindahkan ke Hospital UKM di Cheras, Kuala Lumpur. Ini menyebabkan pelajar klinikal mengalami kesukaran untuk melakukan perjalanan setiap hari dari Jalan Temerloh ke Cheras untuk latihan tahun klinikal mereka. 

Tidak dapat tidak, atas desakan pelajar klinikal yang mahu mereka disediakan tempat tinggal yang lebih dekat dengan HUKM, cadangan adalah untuk penubuhan Kolej Kediaman Tun Dr Ismail di tapak sedia ada. Pada tahun 1999, pembinaan Kolej Kediaman Tun Dr Ismail telah bermula dan dibina di dalam tapak HUKM dengan enam blok asrama yang boleh memuatkan kira-kira 600 pelajar serta kemudahan lain. Pada tahun 2015, Kolej Kediaman Tun Dr Ismail 2 telah ditubuhkan dan dirasmikan untuk menempatkan lebih ramai pelajar Fakulti Perubatan (pelajar tahun praklinikal dan pelajar kejururawatan) berikutan perpindahan Fakulti Perubatan bagi tahun praklinikal di Kuala Lumpur ke Cheras.


12. KOLEJ TUN SYED NASIR (KTSN)


Pada awal penubuhan Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), kolej ini telah menggunakan nama bersempena nama Tun Dr. Ismail bin Dato Hj. Abdul Rahman yang telah banyak menyumbang serta menabur bakti kepada tanah air. Kolej ini telah mula di bina pada bulan Ogos 1978 dan telah siap sepenuhnya pada 28 Jun 1982. Pada ketika itu, kolej ini mampu menampung seramai 1 279 orang pelajar dengan kemudahan dewan serbaguna yang dapat menampung seramai 1 200 orang dalam satu-satu masa.

Kolej ini mempunyai 9 blok asrama dari blok A, B, C, D, E, F, G, H & J dan pangsarama Blok 6. Di samping itu juga, terdapat satu lagi cawangan kolej ini yang terletak di luar kawasan kolej utama yang di namakan Plaza Rah (KTSN 2). Setiap blok mempunyai penyelia asrama dan felo penghuni masing-masing untuk menjaga kebajikan penghuni dan menjadi perantaraan antara para pelajar dengan pihak pengurusan. Para penghuni KTSN adalah terdiri daripada pelbagai bidang akademik iaitu para pelajar bidang farmasi, pergigian dan sains kesihatan.

KESIMPULAN 

Kesemua sekali terdapat 12 kolej kediaman di UKM yang mana 10 di UKM Bangi dan 2 di UKM Kuala Lumpur. 1 daripada 10 kolej kediaman di UKM Bangi merupakan kolej premium. Pelajar prasiswazah ditempatkan di UKM tidak dibenarkan sama sekali untuk memilih dan menukar kolej kediaman. Segala masalah teknikal boleh hubungi Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej dan pihak pentadbiran kolej masing-masing. Mahasiswa UKM tahun 1 diwajibkan untuk menetap di Kolej Kediaman yang disediakan. Tahun 2 dan ke atas yang dibenarkan untuk menyewa di luar kampus.

Mahasiswa UKM KL beruntung kerana mereka tidak perlu memikirkan masalah penginapan kerana mereka akan tinggal di kolej kediaman hingga tamat pengajian jika mahu. Walau bagaimanapun, perkara tidak sama berlaku di kampus induk di Bangi. Di UKM Bangi, penginapan disediakan untuk pelajar tahun 1 dan tahun 2 sahaja. Pelajar tahun 3 dan ke atas kebanyakannya tidak dapat penginapan. Untuk mendapatkan penginapan, pelajar perlu aktif dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kolej. 

Meskipun demikian, mahasiswa UKM jauh lebih untung berbanding mahasiswa UiTM yang masih berhadapan dengan masalah penginapan. Agak lucu apabila UiTM yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera khususnya Bumiputera B40 namun mereka telah membebankan para mahasiswa kerana mahasiswa terpaksa menyewa di luar kampus yang secara tidak langsung menaikkan kos sara hidup mereka. 

Perkara yang sama berlaku di UM yang mana hanya pelajar tahun 1 sahaja diberikan penginapan dan pelajar tahun berikut terpaksa menyewa di luar kampus. Mahasiswa perlu aktif di kolej baru dapat tempat penginapan di kolej. 

Dalam jangka masa panjang, UKM telahpun mengumumkan untuk membina dua buah kolej kediaman di UKM Bangi dengan menaik taraf beberapa buah kolej kediaman milik bukan UKM yang usang dan dipinggirkan. Insya-Allah, masalah penginapan ini dapat diselesaikan. 

Namun demikian, jika anda terpaksa menyewa di luar UKM Bangi, jangan risau, kerana terdapat banyak pangsapuri dan rumah sewa di sekitar Bangi, Kajang dan juga sebuah kawasan baharu di Southville, Sepang. Kedudukan UKM berada di antara sempadan daerah Hulu Langat dan daerah Sepang, Selangor. 

Semoga anda tidak putus asa dalam menuntut ilmu dan tidak berfikir dalam jangka masa pendek dan terikut-ikut golongan pekerja gig yang hanya memikir keseronokan sementara. Jadilah para graduan yang menyumbang dalam bidang masing-masing dan seterusnya membina negara bangsa. 

Salam universiti watan

Comments

Popular posts from this blog

Keputusan PRU-15 di Sabah jika PH & WARISAN Bekerjasama

Taman Melawati KL atau Selangor?

IJAZAH SARJANA MUDA SAINS POLITIK UKM