Keputusan PRU-15 di Sabah jika PH & WARISAN Bekerjasama

    Kerjasama WARISAN dan PH pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 (2018) membuahkan hasil apabila WARISAN memenangi 8 kerusi Parlimen manakala PH menang 6 kerusi Parlimen. 

WARISAN: 
1. Kota Belud 
2. Sepanggar 
3. Penampang 
4. Papar 
5. Batu Sapi 
6. Lahad Datu 
7. Semporna 
8. Kalabakan 

PH: 
1. Kota Kinabalu DAP 
2. Putatan PKR 
3. Ranau PKR 
4. Tenom DAP 
5. Sandakan DAP 
6. Tawau PKR 

    Namun demikian, berlaku keretakan dalam kalangan pimpinan WARISAN dan PH Sabah menyebabkan kedua-dua parti tersebut memilih untuk bergerak solo pada PRU-15 (2022) meskipun bekerjasama pada PRU-14 (2018) dan PRN Sabah (2020). Kesannya, berlaku pecahan undi yang mengakibatkan beberapa kerusi Parlimen gagal dimenangi sama ada WARISAN mahu pun PH.


Analisis PRU-14
    Pertama sekali, WARISAN sebuah parti tempatan yang beroperasi di Sabah buat pertama kali menyertai pilihan raya Parlimen dan DUN pada PRU-14. Kerjasama dengan Pakatan Harapan merupakan langkah strategik kedua-dua parti pembangkang di Sabah untuk menang. WARISAN menang 8 kerusi Parlimen manakala PH menang 7 kerusi. Hal ini menunjukkan bahawa WARISAN-PH menang 15/25 atau 60% kerusi Parlimen di Sabah manakala BN menang 10/25 (40%) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menang 1/25 kerusi di Parlimen Keningau. STAR merupakan pecahan daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Jeffrey G. Kitingan adik kepada bekas Presiden PBS Joseph Pairin Kitingan.

Pecahan kerusi BN bersama majoriti: 
UMNO: 
1. Kudat 1,359 
2. Kimanis 2,029 (PRK Kimanis 2019) 
3. Beaufort 3,331 
4. Sipitang 852 
5. Beluran 7,115 
6. Libaran 678 
7. Kinabatangan 9,478 

PBS: 
1. Kota Marudu 1,774 

UPKO: 
1. Tuaran 7,624 

PBRS: 
1. Pensiangan 2,314 

    Kerjasama WARISAN-PH mengakibatkan pengaruh BN di pantai Barat Sabah semakin berkurangan. BN tewas di Putatan, Ranau, Papar dan Sepanggar namun berjaya mengekalkan Tuaran. Pengaruh BN di bahagian Kudat masih kekal utuh namun BN tewas di Kota Belud kepada WARISAN. Di bahagian Pedalaman Sabah pula, BN masih berpengaruh dengan berjaya mengekalkan kesemua kerusi kecuali Tenom kepada PH-DAP dan Keningau kepada STAR. BN masih berpengaruh besar di kawasan luar Bandar Bahagian Sandakan iaitu di Beluran, Libaran dan Kinabatangan. Namun tewas di Batu Sapi kepada WARISAN. Akhir sekali di bahagian Pantai Timur Sabah menyaksikan kegagalan teruk BN dalam mengekalkan kerusinya apabila BN tewas di Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan kepada PH-WARISAN. Kekalahan teruk BN Sabah sehingga hanya menang 10/25 kerusi Parlimen menyebabkan parti-parti komponennya seperti PBS, UPKO dan LDP (yang tak menang sebarang kerusi) bertindak keluar daripada BN. Maka, BN Sabah hanya terdiri daripada UMNO dan PBRS sahaja. 

    Dalam kerjasama WARISAN-PH pula, WARISAN bertanding sebanyak 16 kerusi Parlimen. WARISAN menang 8/16 iaitu 50% kerusi. DAP pula bertanding sebanyak 3 kerusi dan menang ketiga-tiga kerusi manakala PKR menang 3/6 kerusi atau 50%. Berdasarkan jumlah ini menunjukkan prestasi WARISAN dan PH memuaskan apabila menguasai majoriti kerusi Parlimen pada PRU-14 meskipun tidak berjaya memperoleh majoriti di DUN Sabah. Senarai kerusi yang dimenangi WARISAN-PH ditunjukkan dalam senarai di bawah: 

1. Kota Belud (WARISAN) 4,262
2. Sepanggar (WARISAN) 12,984 
3. Kota Kinabalu (PH-DAP) 24,086 
4. Putatan (PH-PKR) 2,339 
5. Penampang (WARISAN) 23,473 
6. Papar (WARISAN) 325
7. Ranau (PH-PKR) 1,076 
8. Tenom (PH-DAP) 1,133 
9. Batu Sapi (WARISAN) 4,619 
10. Sandakan (PH-DAP) 10,098
11. Lahad Datu (WARISAN) 6,401
12. Semporna (WARISAN) 20,674
13. Tawau (PH-PKR) 4,727 
14. Kalabakan (WARISAN) 3,187

    Daripada senarai tersebut hanya Parlimen Papar yang memperoleh majoriti kurang daripada seribu. Perkara ini membayangkan bahawa kedudukan rapuh WARISAN di kawasan tersebut dan disebabkan PH dan WARISAN masing-masing bertanding secara solo maka ia menambahkan lagi kebarangkalian kekalahan mereka untuk mengekalkan kerusi tersebut. Di kawasan lain pula, terdapat 4 kerusi yang memperoleh majoriti undi kurang daripada 4 ribu iaitu Putatan, Ranau, Tenom dan Kalabakan. Kerusi ini belum mencapai majoriti selesa oleh kedua-dua parti dan berisiko untuk ditumbangkan. Hal ini terbukti apabila keempat-empat kerusi tersebut tewas kepada parti lain pada PRU-15. Selain itu, kerusi seperti Batu Sapi dan Tawau juga tumbang akibat tindakan WARISAN dan PH yang masing-masing memilih untuk bergerak secara sendirian. 

    Oleh itu, penulisan seterusnya akan menganalisis tentang keputusan PRU-15 di kawasan Parlimen Sabah yang akan menilai prestasi PH, WARISAN dan GRS-BN. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada BERSATU Sabah, PBS, STAR dan SAPP bekerjasama dengan BN (UMNO+PBRS). PH pula mempunyai rakan komponen baharu iaitu UPKO yang diketuai oleh Wilfred Madius Tangau sebuah parti yang merupakan bekas parti komponen BN. Pemimpin-pemimpin politik di Sabah diketuai oleh Hajiji Noor sebagai Pengerusi GRS, Bung Moktar Pengerusi BN Sabah, Mohd Shafie Apdal Presiden WARISAN dan Christina Liew Chin Jin Pengerusi PH Sabah. 

Analisis PRU-15:


    Kerjasama GRS-BN disebabkan kerjasama oleh kedua-dua gabungan parti tersebut semasa PRN Sabah 2020 yang menyaksikan GRS-BN dengan WARISAN-PH memperoleh jumlah kerusi yang sama. Tindakan 3 ADUN Bebas menyokong GRS-BN menyaksikan Hajiji Noor diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah. Manakala Bung Moktar, Jeffrey Kitingan (GRS-STAR) dan Joachim Gunsalam (GRS-PBB) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri. GRS bertanding sebanyak 13 kerusi manakala BN bertanding sebanyak 12 kerusi. 5 Ahli Parlimen BN yang melompat parti ke BERSATU iaitu Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran kesemuanya tidak dicalonkan pada PRU-15 dan kesemua kerusi tersebut kecuali Kudat dan Sipitang diserahkan semula kepada BN. Hal ini mendapat tentangan dan protes daripada penyandang Parlimen Beluran, Ronald Kiandee yang merupakan Naib Presiden BERSATU dan bekas Menteri Pertanian kerana kerusinya diserahkan semula kepada BN-UMNO. Beliau mendapat perkenan daripada Muhyiddin Yassin untuk bertanding secara solo dan menggunakan lambang PN di Beluran dan bukannya lambang GRS. 

Keputusan Ringkas PRU-15 di Sabah:
  1. Kudat BEBAS 1,967
  2. Kota Marudu KDM 8,174
  3. Kota Belud WARISAN 4,582
  4. Tuaran PH-UPKO 233
  5. Sepanggar PH-PKR 7,042
  6. Kota Kinabalu PH-DAP 23,783
  7. Putatan BN-UMNO 124
  8. Penampang PH-UPKO 14,410 
  9. Papar GRS-BERSATU 12,822
  10. Kimanis BN-UMNO 3,037
  11. Beaufort BN-UMNO 2,518
  12. Sipitang GRS-BERSATU 4,691
  13. Ranau GRS-BERSATU 11,092
  14. Keningau GRS-STAR 8,056
  15. Tenom KDM 1,108
  16. Pensiangan BN-PBRS 5,412
  17. Beluran PN-BERSATU 1,594
  18. Libaran BN-UMNO 12,618 
  19. Batu Sapi GRS-BERSATU 4,821
  20. Sandakan PH-DAP 11,031
  21. Kinabatangan BN-UMNO 4,330
  22. Lahad Datu WARISAN 4,376
  23. Semporna WARISAN 20,810
  24. Tawau GRS-PBS 3,800
  25. Kalabakan BN-UMNO 9,100

    Berdasarkan keputusan ringkas di atas, kita dapat menyaksikan bahawa BN paling beruntung dengan perpecahan WARISAN-PH apabila menduduki tempat pertama iaitu memenangi 8/25 kerusi Parlimen iaitu 7 UMNO dan 1 PBRS. Pada realitinya, BN hanya bertanding sebanyak 12 kerusi dan oleh itu 58% kerusi yang ditandingi 8/12. BN berjaya merampas semula dua kerusinya iaitu Putatan (daripada PKR) dan Kalabakan (daripada WARISAN). Majoriti di Putatan sangat tipis iaitu hanya 124 undi manakala di Kalabakan majoriti besar dengan 9,100 undi. Penduduk di Pantai Timur Sabah kembali kepada pangkuan UMNO kecuali di Lahad Datu dan Semporna yang merupakan kubu kuat WARISAN. 

    GRS menduduki tempat kedua dengan memenangi 6/25 kerusi Parlimen pada PRU-15 dengan pecahan 4 BERSATU, 1 PBS dan 1 STAR. Meskipun begitu, pada realitinya GRS hanya menang 6/13 kerusi atau 46% kerusi yang ditandingi. Keputusan yang kurang memuaskan memandangkan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu ialah Hajiji Noor yang merupakan Pengerusi GRS dan Pengerusi BERSATU Sabah. Berdasarkan analisis ringkas kita dapat menyaksikan kejayaan GRS merampas kerusi WARISAN iaitu Papar dengan majoriti besar iaitu 12,822 undi dan Ranau dengan 11,092 undi. Faktor kejayaan di Ranau mungkin disebabkan faktor calon PKR yang melompat ke BERSATU, Jonathan Yasin yang dikekalkan. Namun demikian, kejayaan GRS di Papar amat luar biasa. GRS juga berjaya merampas Batu Sapi daripada WARISAN yang dua tahun tiada penyandang disebabkan kematian Liew Vui Keong pada tahun 2020 dan Tawau daripada PKR. Faktor kemenangan ini adalah nyata disebabkan perpecahan undi WARISAN-PH. PBS berjaya menapak semula di Tawau yang merupakan kerusi tradisinya. Namun begitu, PBS menyaksikan kekalahan teruk di Kota Marudu apabila Presidennya Maximus Ongkili tewas kepada calon KDM Wetrom Bahanda. Parti KDM yang masih setahun jagung mampu menewaskan figura besar di Kota Marudu adalah mengejutkan. Wetrom Bahanda merupakan ADUN Bandau, salah satu DUN di bawah Kota Marudu yang menang atas tiket BERSATU. Namun demikian, beliau lompat dan menyertai KDM. Kemenangan ini menunjukkan bahawa penduduk luar bandar Sabah berfikiran terbuka dan boleh mengundi calon baharu daripada parti baharu. 


    PH Sabah berada pada kedudukan ketiga dengan menang 5/25 kerusi. Pada pilihan raya ini, PH memilih untuk bertanding solo iaitu bertanding kesemua kerusi kecuali Kinabatangan. Prestasi PH juga kurang memberangsangkan apabila PH gagal mempertahankan Putatan, Tenom dan Tawau. Calon PKR Putatan yang juga Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari tewas kepada Shahelmy Yahya daripada BN dengan majoriti 124 kerusi, Calon DAP di Tenom, Noorita Sual juga tewas namun kepada calon BEBAS Riduan Rubin yang disokong oleh KDM. ADUN Melalap, Peter Anthony yang merupakan  Presiden KDM dihalang untuk bertanding dan membuat keputusan untuk menyokong Riduan Rubin. Calon PKR di Tawau, Christina Liew juga tewas kepada calon PBS akibat perpecahan undi WARISAN dan PH. Namun demikian, rakan komponen baharu PH: UPKO berjaya membawa masuk dua kerusi Parlimen ke dalam genggaman PH iaitu Tuaran dan Penampang. Kekalahan Wilfred di Tuaran dijangka berdasarkan keputusan PRN Sabah apabila majoriti DUN di bawah Tuaran menang kepada GRS-BN. Kejayaan UPKO mengekalkan kerusi ini walaupun sekadar majoriti 233 undi adalah mengejutkan. Lebih mengejutkan apabila Ewon Benedick calon UPKO di Penampang berjaya menewaskan Darell Leiking dari WARISAN dengan majoriti besar 14,410 undi. Penampang ke arah Bandar apabila kerajaan tempatannya akan dinaik taraf ke status Majlis Perbandaran pada April 2024. Mungkin disebabkan hal ini, stigma pengundi bandar cenderung ke PH menyakinkan kemenangan UPKO di Penampang dicampur faktor calon. Selain itu, satu lagi kejutan adalah kejayaan PKR menumbangkan Azis Jamaan calon WARISAN di Sepanggar. Parlimen Sepanggar berada di bawah daerah Kota Kinabalu yang merupakan kawasan bandar. Hal ini menunjukkan amat sukar bagi WARISAN untuk memenangi kerusi di kawasan bandar di Sabah yang majoritinya dipengaruh oleh PH. 

    WARISAN mendapat keputusan tercorot dengan memenangi hanya 3/25 kerusi Parlimen pada PRU-15 iaitu Kota Belud, Lahad Datu dan Semporna. Kekalahan teruk ini disumbangkan oleh beberapa faktor iaitu perpecahan undi PH-BN, undi penduduk bandar yang setia kepada PH dan strategi GRS-BN yang berkesan. Bagi perpecahan undi, WARISAN boleh mengekalkan kemenangan di Batu Sapi dan Kalabakan meskipun majoriti tipis. Pengundi bandar yang setia kepada PH mengakibatkan Sepanggar dan Penampang masing-masing tumbang kepada PH. Akhir sekali, langkah-langkah strategik yang digunakan oleh GRS dalam meningkatkan jumlah undi luar biasa kepada GRS di Parlimen Papar. Penyandang Kota Belud, Isnaraissah Majilis dari WARISAN berjaya mengekalkan kerusinya dengan peningkatan majoriti yang sedikit berbanding PRU-14, di Lahad Datu, adik Shafie Apdal, Yusof Apdal berjaya mengekalkan Lahad Datu dengan majoriti berkurang disebabkan perpecahan undi dan Shafie Apdal kekal cemerlang di Semporna. 




    Seterusnya kita akan menganalisis keputusan ringkas PRU-15 jika undi PH dan WARISAN bergabung:

  1. Kota Belud WARISAN 12,905
  2. Tuaran PH-UPKO 5,961 
  3. Sepanggar PH-PKR 25,635 
  4. Kota Kinabalu PH-DAP 34,343 
  5. Putatan PH-PKR 8,387 
  6. Penampang PH-UPKO 37,003
  7. Kimanis WARISAN 894 
  8. Sipitang WARISAN 143
  9. Batu Sapi WARISAN 2,397 
  10. Sandakan PH-DAP 17,261 
  11. Lahad Datu WARISAN 12,665 
  12. Semporna WARISAN 22,658 
  13. Tawau PH-PKR 7,463 
  14. Kalabakan WARISAN 298
Berdasarkan keputusan ringkas di atas, PKR mampu mengekalkan Putatan dan Tawau manakala WARISAN mengekalkan Batu Sapi dan Kalabakan di samping memperoleh Kimanis dan Sipitang. Meskipun begitu, majoriti yang diperoleh di Kalabakan amat sedikit jika undi WARISAN dan PH digabungkan iaitu hanya 298 undi manakala kedua-dua kerusi baharu iaitu Kimanis dan Sipitang juga sangat sedikit. Hal ini menyebabkan gabungan PH-WARISAN memperoleh 56% atau 14/25 kerusi di Sabah. Undi PH-WARISAN bergabung masih gagal untuk mempertahankan Papar, Ranau dan Tenom. Keputusan ini menyaksikan WARISAN memperoleh 7 kerusi manakala PH juga 7 kerusi. 

Selain itu, jika dicampur kerusi Labuan. WARISAN boleh menang di kerusi tersebut jika undi WARISAN dan undi PH digabungkan iaitu 7,310 +  5,307 = 12,617. 12,617 - 8,124 (Undi PN) membuatkan majoriti 4,493. Oleh itu, WARISAN memperoleh 8 kerusi Parlimen dengan 5 kerusi asal dicampur 3 kerusi baharu (Kimanis, Sipitang & Labuan). 

    Keputusan alternatif ini menunjukkan bahawa kedua-dua parti WARISAN dan PH masing-masing rugi apabila tidak bekerjasama bagi menghadapi PRU-15 sedangkan lawannya iaitu GRS dan BN saling bekerjasama dan membuahkan hasil. Meskipun begitu, demokrasi di Sabah semakin subur apabila wujud kerusi yang dimenangi oleh calon selain daripada GRS-BN, WARISAN dan PH iaitu seorang calon BEBAS, 2 calon KDM dan 1 calon PN. Verdon Bahanda menang di Kudat sebagai calon BEBAS dan menewaskan calon GRS ADUN Pitas Ruddy Awah. Selain itu, abang kepada Verdon Bahanda, Wetrom Bahanda pula menang di Kota Marudu menewaskan figura besar di Sabah iaitu Maximus Ongkili sebagai calon KDM dan Riduan Rubin calon BEBAS yang disokong KDM di Tenom serta Ronald Kiandee calon tunggal PN di Sabah yang menang di Beluran. 

PRN Sabah 2025




    Penggal ke-16 DUN Sabah dijangka tamat pada September 2025 namun Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor tidak menolak kemungkinan yang PRN Sabah akan diawalkan. Situasi politik di Sabah berubah 360 darjah apabila kawan menjadi lawan dan lawan menjadi kawan. Cubaan untuk menjatuhkan Hajiji Noor diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar di sebuah sidang media di Kota Kinabalu bersama-sama beberapa ADUN UMNO Sabah antaranya Salleh Said Keruak. Bung mendakwa, Hajiji kehilangan majoriti di DUN Sabah apabila kesemua ADUN UMNO menarik balik sokongan terhadap Hajiji. Dakwaan UMNO Sabah dan WARISAN kononnya Hajiji kehilangan sokongan apabila beliau telah membawa kesemua ADUN BERSATU Sabah untuk keluar daripada BERSATU dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau GAGASAN RAKYAT. Namun demikian, terdapat enam ADUN UMNO Sabah yang enggan menarik balik sokongan terhadap Hajiji dan ia diketuai oleh ADUN Tanjung Keramat dan MP Putatan Shahelmey Yahya. Majoriti Hajiji kembali terjamin apabila 7 ADUN PH menyatakan sokongan terhadap Hajiji. Situasi ini amat parah sehingga YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri 1 bergegas ke Kota Kinabalu dan bertemu dengan Hajiji. Mereka berdua menasihatkan Hajiji agar menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan di negeri Sabah iaitu sebuah kerajaan tanpa pembangkang seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Persekutuan. Namun demikian, Hajiji menolak cadangan itu dan sebaliknya memecat Bung dan ADUN UMNO yang tidak menyokongnya. Hasil daripada sokongan enam ADUN UMNO dan 7 ADUN PH, Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, James Ratib dari UMNO dilantik Menteri serta Christina Liew Chin Jin dari PKR dan Phoong Jin Zhe dari DAP kembali berkhidmat sebagai Menteri Sabah. 




    Situasi kemelut politik Sabah di atas telah memungkinkan kerjasama GRS-PH disebabkan kedua-dua gabungan tersebut kini mengetuai Kerajaan Sabah manakala BN dan WARISAN serta KDM berada di blok pembangkang. Namun demikian, pihak BN Sabah masih menafikan sebarang kerjasama dengan WARISAN dengan alasan terlalu awal untuk membentuk sebarang pakatan pilihan raya. Keanggotaan di dalam GRS semakin bercelaru kerana pada saat ini GRS mempunyai sebanyak 7 rakan komponen, namun hanya tiga parti yang mempunyai jumlah ADUN yang signifikan iaitu GAGASAN RAKYAT, PBS dan STAR manakala PHRS hanya mempunyai 1 ADUN dan SAPP mempunyai 1 ADUN lantikan. USNO dan LDP pula tidak mempunyai sebarang wakil. Presiden UPKO dan Naib Presiden PH mengimpikan kesemua parti tempatan di Sabah bergabung kerana politik di Sabah semakin berpecah-belah. Beliau juga mengatakan bahawa kerusi yang penyandangnya telah melompat seperti yang berlaku di GAGASAN RAKYAT tidak boleh dianggap kerusi itu sebagai hak milik mereka kerana mereka telah menang di kerusi tersebut sebagai calon parti terdahulu. Oleh itu, setiap kerusi lompat boleh dirunding untuk menentukan siapakah yang bakal bertanding. 


    Kesimpulannya, kerjasama PH-WARISAN semasa PRU-15 sememangnya menguntungkan kedua-dua belah pihak dan menambahkan jumlah kerusi yang diperoleh mereka walau gagal mempertahankan tiga kerusi iaitu Papar, Ranau dan Tenom namun demikian keputusan kedua-dua belah pihak untuk bertanding secara persendirian telah mengehadkan jumlah undi mereka. Selain itu, pasca Langkah Kinabalu pada Januari 2023 telah menambahkan kebarangkalian kerjasama GRS-PH dan BN-WARISAN walaupun sebarang pakatan belum dipastikan dan disahkan. 


Comments

Popular posts from this blog

Taman Melawati KL atau Selangor?

IJAZAH SARJANA MUDA SAINS POLITIK UKM